Saya mengenal ikan tamok ini sejak dari kecil lagi. Walaupun sudah mengetahui dan memahami sifat ikan tamok yang memakan rumpai laut atau lumut, saya mengalami kesukaran untuk memancingnya kerana sulit untuk menyediakan umpannya.

 

Selain kesukaran mendapatkan rumpai yang sesuai, akan berhadapan dengan masalah untuk memasang umpan lumut ini pada mata kail pula. Namun hati terasa panas bila melihat ikan ini berenang dan bermain di persekitaran kawasan kami memancing.

 

Dari situ kami mula mencari idea memikirkan umpan alternatif. Maka sisa makanan yang selalunya dijadikan bahan ujikaji. Dari sini secara tidak langsung kita dapat mencari panduan dan formula untuk menyediakan umpan sesuai yang mudah disediakan.

 

 

Saya teringat ketika mengunjungi kelong memancing di Bagan Lalang suatu ketika dahulu. Ada beberapa kaki pancing kecewa kerana tidak berpeluang langsung menjerat tamok walaupun telah berusaha keras. Setelah diperturunkan beberapa petua, seekor demi seekor tamok berjaya dipancing tanpa banyak halangan lagi.

 

IKLAN

Penggunaan umpan roti digumpal padat kini sudah menjadi lumrah bagi kalangan kaki pancing. Ketika melancong dan memancing di Maldives dulu, saya diajar menggunakan umpan tepung capati yang diuli sebagai umpan. Tepung capati lebih tahan daya lekatan pada mata kail berbanding roti yang mudah terlerai di dalam air.

 

Begitupun kedua-dua jenis umpan ini memerlukan kita menabur rasuah terlebih dahulu agar memberi kelekaan serta mengurangkan ikan merasa curiga terhadap umpan yang bakal dilabuhkan kemudian.

 

 

Teknik terkini, saya semacam tidak percaya apabila tamok tertarik dengan umpan hirisan ikan yang digunakan pada set mata apollo.

IKLAN

 

Sama ada ia tertarik kerana adanya manik dan warna-warna kertas berkilat atau umpan sukar untuk saya leraikan untuk sekali pengamatan. Apa yang saya nampak tamok datang mendekati umpan, hidu atau ambil bau kemudian berlalu. Lepas itu datang balik, lakukan tabiat yang sama berulang kali tanpa menyentuh sepenuhnya hirisan ikan yang saya gunakan.

 

Pada awalnya saya hampir berputus asa untuk memancing tamok berumpankan hirisan ikan, tapi menjelang arus surut terjadi buat pertama kali tamok menelan umpan hirisan ikan yang sebelum ini hanya dihidu sahaja.

 

 

IKLAN

Untuk memancing tamok, disarankan menggunakan tangsi bawah 12 paun. Lebih halus maka lebih besarlah peluang. Joran grafit 10-15 Ib, panjang 6.5 kaki dengan kekili mendatar lebih praktikal diguna pakai. Ini kerana roti yang dipasang pada mata kail tidak mempunyai berat mencukupi ketika balingan dibuat. Penggunaan pelampung sememangnya memudahkan lontaran dibuat tanpa banyak masalah.

 

Oleh kerana teknik memancing di permukaan air, lebih senang menggunakan pelampung yang diikat pada jarak sejengkal dari mata kail, memadai jangan terlalu panjang. Saya lebih menyarankan mata kail saiz 16 hingga 18 diikat pada tali tangsi utama 10 paun dan di lontar hanyut di belakang kira-kira 3 meter jarak paling minima.

 

 

Ini kerana tamok jarang rapat jika melihat pemancing berhampiran. Apabila kita mula mengesan umpan diusik, biarkan seketika jangan strike lagi. Beri sedikit tali lagi agar tamok tidak mengesan perangkap. Biar ia leka mengutis dan akhirnya menelan umpan. Sebaik umpan ditelan pastinya tangsi tegang saat ikan melarikan diri.

 

Bila mata kail berada dalam mulut tekanan balas diberikan amat mudah untuk lekatan kail terhasil. Kemudian layan sahaja kerana tamok tidak berenang menjunam ke dasar mahupun ke kawasan reba. Ia berlegar di permukaan kawasan lapang.