25.6 C
Shah Alam
Wednesday, 9 June, 2021

Ikan Kelah 101 – Kenali spesies raja sungai

Ikan kelah atau nama Inggerisnya Mahseer merupakan spesies ikan kap sungai dalam keluarga Cyprinidae yang bersisik besar. Dalam pengelasan taksonomi, perincian spesies kelah agak sukar dibezakan kerana spesies ini mempunyai sifat luaran yang hampir sama. Secara amnya, kelah dikelaskan dalam tiga genus iaitu Tor, Neolissochilus dan Naziritor.

Menurut penyelidikan, terdapat pula tiga spesies dalam genus Tor iaitu Tor tambroides, Tor douronensis dan Tor tambra di negara kita. Gelaran mahseer lazimnya merujuk kepada spesies dalam genus Tor. Dan di negara kita juga spesies kelah telah dikenal pasti sebagai Tor tambroides atau Malayan mahseer. Dipercayai, kelah merah yang terdapat di Semenanjung Malaysia khususnya di Pahang, Terengganu dan Kelantan dirujuk sebagai Tor tamroides. Begitu juga dengan empurau di Sarawak. Manakala spesies semah di Sarawak dan pelian di Sabah dirujuk sebagai Tor duoronensis.
Sementara itu tengas dan kejor juga merupakan spesies daripada keluarga yang sama namun spesies tersebut datang daripada genus Neolissochilus.

IKLAN

Taburan spesies ikan kelah boleh dijumpai di kawasan sungai yang berarus deras dan berjeram. Kawasan sebegini merangkumi Malaysia, Thailand, Myanmar, Kemboja, Laos dan Sumatera di Asia. Ikan kelah juga merentasi Asia Tenggara sehingga ke beberapa bahagian di India. Ikan kelah secara tipikalnya mendiami dan berlegar di kawasan dasar yang berbatu dan berkayu sebagai tempat berlindung di kawasan hilir sungai. Terdapat juga yang memilih untuk berlindung di kawasan yang lebih luas dan dalam. Ketika musim mengawan, ikan kelah akan bermigrasi dan berenang melawan arus ke hulu sungai. Di hulu sungai ikan kelah akan memilih kawasan sungai-sungai yang lebih kecil untuk melepaskan telurnya.

IKLAN

Daripada aspek morfologi, badan ikan kelah mempunyai bentuk yang agak tirus di mana ia memberi kelebihan ketika berenang melawan arus dan menongkah jeram. Warna badannya pula bervariasi daripada kuning keemasan sehingga ke warna kemerahan. Sisik di badannya mempunyai warna berkilau dan cantik. Sementara sirip dorsal ikan kelah lazimnya agak besar. Pada bahagian mulutnya, ikan kelah atau mahseer dari genus Tor mempunyai bibir median bawah yang lebih tebal. Bibir ini membezakannya daripada spesies tengas atau copper mahseer dari genus Neolissochilus.

IKLAN

Kelah jantan yang matang pula biasanya lebih kecil berbanding kelah betina yang matang. Sebagaimana spesies ikan kap yang lain, ikan kelah merupakan haiwan omnivor yang tidak hanya makan alga, krustasea, serangga, katak dan ikan-ikan mangsa yang lain, tetapi juga buah dan bunga yang berguguran dari pohon-pohon yang tumbuh di tepi-tepi sungai. Ikan kelah bukan sahaja terkenal dengan keenakan rasa isinya yang bertekstur halus itu, malah daya juangnya juga adalah sangat  mencabar bagi pemancing untuk mendaratkannya . Justeru, kombinasi daya juang yang hebat serta isinya yang sedap maka ia menjadi buruan peminat sukan memancing ikan air tawar.

© Hakcipta Terpelihara Nu Ideaktiv Sdn Bhd • Dikendali Oleh Astro Group

error: Hello. Cannot.