Sekiranya bertandang ke Batu Pahat dan berkelapangan masa, atau sememangnya berhajat untuk memancing, maka sewajarnya anda meluangkan masa San Sue Fishing Village atau Kolam Pancing San Sue yang terletak di Batu 3, Jalan Tanjung Laboh, Bandar Penggaram, Batu Pahat, Johor.

 

Menepati dengan nama fishing village, Kolam Pancing San Sue sememangnya adalah sebuah perkampungan memancing! Dalam kawasan kebun berbukit seluas 6 ekar, 3 buah kolam khusus untuk memancing ikan air tawar dibina.

 

 

Dua buah kolam memancing menggunakan umpan dan sebuah kolam khas untuk peminat casting menggunakan umpan tiruan atau gewang. Fasiliti dan kemudahan lazim seperti tandas dan kantin disediakan. Malah surau untuk pemancing Muslim mendirikan solat turut disediakan khusus.

 

Menurut pengusahanya, Mr. Goh atau lebih popular dengan panggilan Aban, Kolam Pancing San Sue mula beroperasi kira-kira 9 tahun yang lalu. Berbekalkan air bukit yang disalirkan ke setiap kolam, telah lebih 40 tan ikan mendiami ketiga-tiga buah kolam.

IKLAN

Kolam besar yang merupakan kolam utama berukuran lebih 1 ekar menempatkan lebih 25 tan ikan. Purata kedalamannya sekitar 8 kaki. Kolam kecil atau kolam pancing bayar balik kedua pula berukuran setengah ekar dengan kedalaman antara 3 hingga 12 kaki.

 

 

Perbezaan lain kedua kolam ini, kolam kecil menempatkan ikan-ikan keli yang menjadi tarikan utama pancingan di Johor manakala kolam besar khusus bagi pemancing yang memburu spesies lain kerana tiada keli dimasukkan ke kolam tersebut.

 

Saiz-saiz ikan di kedua-dua kolam juga berstatus monster. Patin terbesar yang ada sehingga berat 20 kg, tongsan sisik halus sebesar 35 kg, pacu sehingga 12 kg, rohu sehingga 12 kg, keli sehingga 10 kg, belida sekitar 5 kg dan toman di kolam casting pula sehingga mencecah 13 kg.

 

 

Beroperasi setiap hari dari jam 2 petang hingga 2 pagi (dilanjutkan sehingga 4 pagi apabila keesokan harinya hujung minggu dan cuti am), Kolam Pancing San Sue mengenakan yuran memancing sebanyak RM 30 bagi tempoh 3 jam pertama.

Bagi tambahan masa berikutnya adalah sebanyak RM 8 per jam. Sama ada di kolam besar atau kecil, syarat dan peraturan memancing adalah sama.

 

Teknik memancing adalah bebas dengan penggunaan 1 mata kail. Umpan juga bebas kecuali organ haiwan. Dan oleh kerana pihak kolam banyak memelihara anjing demi menjaga keselamatan kolam, peraturan tambahan dibuat iaitu larangan memancing anjing dan akan dikenakan denda sebanyak RM 250 jika berbuat demikian.

 

 

Sementara bagi peminat casting, ratusan ekor toman dan pacu sedia menanti gewang-gewang untuk dihancurkan. Dengan konsep tangkap dan lepas dan tiada bayaran balik bagi setiap tangkapan, dan dengan yuran masuk sebanyak RM20, maka bolehlah casting sehingga lebam. Sekiranya berhasrat untuk casting sebelum waktu operasi kolam atau pada awal pagi, pakej casting turut disediakan dengan kuota minima 10 orang pemancing.