Menebing merupakan istilah yang diguna pakai oleh kaki pancing bagi meringkaskan aktiviti memancing dari tebing sungai atau muara. Tidak kiralah apa saja teknik yang diamalkan, aktiviti menebing haruslah dilakukan dengan tertib demi keberhasilan dan keselamatan.

 

Alatan lengkap

Perkara ini perlu diuruskan di rumah dengan cermat sebelum keluar menebing. Adalah teramat penting tidak ketinggalan sebarang peralatan memancing kerana ia akan menganggu kosentrasi dan mood. Malah, sesetengah pemancing tebing beranggapan ia sebagai petanda awal anda akan kumpau jika tertinggal alatan memancing.

 

 

Had kawasan

Pantau sempadan kawasan yang selamat untuk duduk, beraksi dan mendaratkan tangkapan. Ia amat penting terutamanya memancing di tebing tinggi agar tidak terjatuh atau tanah lembik agar tidak terjerlus hingga tenggelam anggota badan.

 

 

IKLAN

Kawasan aman

Pastikan juga port pilihan itu selamat dari sebarang ancaman yang tak terduga seperti serangan binatang berbisa. Elakkan dari berada di port yang terdapat sarang tebuan atau ular. Jadi, sebaiknya pilih kawasan yang agak lapang.

 

Kenali jenis ikan

Mengenali jenis ikan bukan saja penting bagi membolehkan anda menggunakan umpan yang tepat tetapi juga anda membawa pulang jenis ikan betul. Manalah tahu kalau-kalau emak atau isteri anda memesan ikan sembilang untuk dibawa pulang tetapi ikan belukang pula yang anda tapau.

 

 

Cara pengendalian ikan

Setelah anda mengenali jenis ikan maka anda perlu tahu cara untuk memegang ikan khususnya ketika menanggalkan mata kail. Pengendalian yang silap, contohnya memegang ikan duri atau sembilang sebagaimana memegang ikan gelama pastinya mengundang padah terkena sengat.

 

 

Amaran pasang surut

Selain dari perlu mengetahui had kawasan untuk duduk menebing, anda juga perlu tahu had air pasang dan surut. Ia boleh boleh menimbulkan bencana sekiranya leka berada kawasan yang akan tenggelam ketika air pasang. Ada sesetengah jeti memancing akan tenggelam apabila fenomena air pasang besar berlaku.

 

 

Air minuman

Meskipun anda tidak bercadang untuk memancing dalam tempoh yang agak panjang, sebaiknya jangan lupa untuk membawa bekalan air minuman terutamanya air mineral. Selain dari mustahak untuk keperluan badan, air putih atau mineral ini boleh dijadikan bahan keperluan yang amat penting bagi sebarang kejadian yang tidak diingini.

 

Kawasan putih

Pastikan juga port menebing itu adalah kawasan putih. Kawasan berputih bermaksud ia bebas dari sebarang ancaman jenayah. Kawasan menebing sebenarnya kawasan yang mudah kepada penjenayah untuk menghapuskan bukti jenayah. Jadi, sebaiknya anda memancing secara berteman.

 

Jangan mudah terpedaya

Seperkara yang harus anda ingat dan faham ialah kawasan muara sungai juga ini merupakan kediaman makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Secara tidak langsung kita sudah menceroboh kawasannya. Jadi, jika terlihat atau terdengar sesuatu di luar kebiasaan, jangan mudah terpengaruh dan terpedaya.