Setibanya di Rompin, kami terus bertemu Nuries dan Rose untuk membincangkan tentang trip kami yang akan berlangsung esok pagi. Lokasi yang dicadangkan ialah memancing di sekitar perairan Pulau Berhala.

 

Walaupun waktu ini bukan waktu terbaik untuk memancing ikan layaran yang terkenal di daerah Kuala Rompin, Pulau berhala adalah lokasi yang patut dicuba memandangkan lokasi ini kaya dengan ikan-ikan pelagik yang menjadi buruan kaki pancing.

 

Menjadi kebiasaan di sini, kami singgah terlebih dahulu di unjam untuk mencari umpan hidup sebelum tiba ke destinasi, selepas stok umpan sudah mencukupi, bot terus bergerak menuju ke Pulau Berhala. Lebih kurang sejam lebih perjalanan, kelihatan Pulau Berhala tersergam indah di tengah-tengah lautan.

 

 

Perkara pertama yang disarankan oleh tekong ialah sesi trolling di sekitar Pulau Berhala. Gewang selaman dalam sepanjang 14 inci diturunkan dengan harapan dapat memujuk ikan-ikan pelagik yang banyak terdapat di sekitar Pulau Berhala.

 

Selepas beberapa kali bot berpusing-pusing menunda gewang di sekitar pulau, satu henjutan padu berlaku pada rod milik saya lalu pertarungan bersama ikan mula berlangsung.

IKLAN

 

Selepas pertarungan selama 10 minit berlangsung, ikan telah menunjukkan tanda-tanda sudah lemah, kekili dikayuh dengan penuh berhati-hati supaya ikan dapat dinaikkan. Akhirnya seekor ikan alu-alu bintik hitam berjaya didaratkan.

 

 

Selepas ikan berjaya didaratkan, bot bergerak meneruskan aktiviti trolling atau menunda gewang di sekitar Pulau Berhala. Semasa sisi menunda gewang, beberapa kali kes lucut telah berlaku, banyak gewang yang digunakan juga hancur dikerjakan ikan-ikan pelagik yang dipercayai kerja ikan alu-alu.

 

Namun berkat kesabaran kami, beberapa ekor alu-alu lagi berjaya diperolehi kami. Selain itu, kami bagaikan menerima bonus apabila salah seorang rakan kami berjaya memperolehi ikan tenggiri batang hasil dari sisi menunda gewang.

 

 

Selepas separuh hari kami menunda gewang, bot mula berlabuh untuk sesi memancing dasar dan menghayut (drift) umpan hidup dengan harapan ada ikan layaran atau tenggiri yang sudi melayan kami.

 

Selepas menanti dengan penuh sabar, akhirnya rod milik Imam melentuk kuat. Tanpa disangka-sangka ikan layaran telah memakan umpan ikan selar hidup beliau. Memang mengejutkan kerana di luar musim layaran ini masih ada layaran yang sudi memakan umpan kami.

 

Selepas beberapa minit melayan henjutan padu ikan layaran. Akhirnya ikan tersebut berjaya didaratkan. Selepas sesi bergambar, ikan tersebut dilepaskan semula ke dalam laut. Sekali lagi sebelum kami pulang, seekor layaran lagi berjaya diperolehi. Ikan tersebut menjadi penutup sesi memancing kami. Kami bersiap-sedia berkemas untuk pulang.

 

 

Hasil yang diperolehi juga amat memuaskan. Selain ikan alu-alu dan tenggiri hasil daripada sesi trolling atau menunda gewang, Kami juga memperolehi lebih 30 kg ikan kerisi, cencaru dan kerapu juvenil hasil daripada sesi memancing dasar dan apollo ketika sambil-sambil menantikan ikan memakan umpan drift yang kami turunkan.

 

Hasil sebegini sudah cukup buat kami sepanjang seharian memancing di Pulau Berhala. Hasil keseluruhan tersebut dibahagikan sama rata supaya semua ahli trip dapat merasa hasil memancing di Pulau Berhala.