Sama seperti program-program yang lalu, program kali ini membawa wakil-wakil media dan agen pelancongan untuk merasai pengalaman memancing di spot-spot popular di perairan laut negeri Perak iaitu sekitar Pulau Sembilan dan Jarak.

 

Jeti LKIM Kampung Acheh, Lumut menjadi lokasi wakil-wakil media dan agen pelancongan berkumpul. Di sini, kami dibahagikan kepada 3 buah bot dan penulis ditempatkan di dalam bot 1 yang dikendalikan oleh Tekong Abe yang baru berkhidmat penghujung tahun lalu.

 

 

Penantian Satu Penyeksaan

Pada awalnya, mengikut perancangan itinerari, kami dijangka memulakan perjalanan ke Pangkor pada jam 10 pagi. Entah apa malangnya, salah satu bot mengalami kerosakan dan kami wakil media terpaksa menunggu lebih satu jam sebelum bergerak ke Pulau Pangkor.

 

Mujurlah bot 1 milik tekong Abe sudah awal-awal lagi menunggu ketibaan kami di jeti. Malah, akibat kebosanan, ada di antara peserta yang sempat melayan belukang dengan menggunakan umpun-umpun di jeti ini. Epik sungguh!

 

IKLAN

Usai sahaja makan tengah hari di Pangkor, sekali lagi kami berdepan masalah apabila kami dikhabarkan bot yang mengalami kerosakan pada awal tadi tidak meneruskan perjalanan. Makanya, kami terpaksa menunggu pula bot baru tiba dan sudah pastinya penantian kami diteruskan 2 jam lagi di Pangkor.

 

Jam 4 petang barulah kami dapat memulakan perjalanan ke perairan Pulau Jarak. Perancangan asal untuk ke unjam mencari hasil apollo terpaksa kami lupakan sama sekali kerana apabila hari mulai gelap sudah hilanglah ikan-ikan pelagik di unjam. Jadi kami terus sahaja menuju ke lubuk yang ditetapkan tekong.

 

 

Memahami peralatan memancing yang sesuai amat penting di kawasan ini, kesemua media telah dibekalkan dengan sebiji ‘bangla’ (kekili elektrik) setiap seorang. Hari hampir gelap apabila kami tiba di lubuk pertama iaitu di kawasan karang. Berbekalkan umpan hirisan kembung, kami terus melabuhkan umpan.

 

Suasana yang sepi pada awalnya mula bertukar apabila Pok Muds yang duduk di belakang bot menaikkan 2 ekor ikan tanda sekaligus. Selepas itu sahaja hampir semua peserta mendapat sambaran dari ikan tanda dan tambak. Biarpun saiznya sekitar setengah kilo sahaja, ia sudah cukup menggembirakan kami di bot 1. Kira macam sesi pemanas badanlah sebelum bertarung dengan monster.

 

Bantal Emas Pulau Jarak

Setelah puas melayan ikan-ikan karang, kali ini tekong mengarahkan kami untuk berpindah ke lubuk seterusnya yang dikatakan lubuk jenahak di perairan ini. Memang benarlah apa yang dikata apabila joran milik Pengarah Tourism Malaysia Perak disambar rakus penghuni dasar.

 

 

Dengan bantuan Pok Muds yang turut berada di belakang bot dengan mudah sang jenahak berskala 3 kg dinaikkan ke atas bot. Tidak lama kemudian, satu lagi kekili is gred A ini menggunakan umpan udang lipan.

 

Namun, tiba-tiba sahaja cuaca tidak semena-mena berubah. Angin kencang mulai tiba dan kilat memancar di kaki langit. Kemudiannya disusuli pula hujan lebat sekali gus membantutkan sesi pancingan kami. Oleh yang demikian, kami terpaksa berlindung di dalam perut bot menunggu cuaca mulai reda.

 

 

Mujurlah ribut cuma berlaku seketika sahaja. Selesai sahaja ribut, sesi pancingan diteruskan kembali. Namun ramai yang lena akibat tidak tahan dengan lambungan ombak, kerana laut masih kuat bergelora. Berbekalkan umpan sotong hidup, guide kami yang duduk di belakang bot menjadi pemecah suasana apabila berjaya mendaratkan seekor jenahak monster berskala 6kg! ini terus membangkitkan semangat kami.

 

Tepat sahaja 9 pagi, kami terus menuju pulang ke jeti dan menariknya apabila tiba di jeti, bot 1 yang kami naiki menjadi bot yang paling sukses mendaratkan paling banyak spesies ikan gred A. Penulis percaya, seandainya tidak berlaku masalah bot dan kami sempat apolo terlebih dahulu mencari umpan hidup, pastinya hasil akan lebih memuaskan.