Berdiri di hujung jeti nelayan Teluk Bahang, saya merenung lemah ‘kelong’ yang dimaksudkan tersebut. Salah saya juga kerana tak bertanya lebih jelas tentang kelong itu dan bukan juga salah orang di sana jika menamakan sangkar ikan sebagai kelong.

Saya tiada sebarang masalah untuk memancing di sangkar ikan cuma kelengkapan pancing yang dibawa lebih sesuai untuk kegunaan pancingan di kelong, bukannya di sangkar ikan.

 

Deretan sangkar ikan yang dapat dilihat dengan jelas dari jeti nelayan ini memerlukan masa kurang dari 5 minit sahaja untuk ke sana dengan bot fiber yang disediakan.

 

Sangkar ikan atau Kelong Keong yang merupakan sangkar ikan paling lama diusahakan di kawasan pantai berteluk itu menjadi pilihan untuk memancing ikan-ikan liar yang datang mencari makan lebihan makanan ikan yang diternak di dalam sangkar.

 

 

Ketibaan kami waktu itu sebenarnya umpama langkah kanan kerana tepat pada waktu ikan-ikan di dalam sangkar diberi makan. Saranan daripada tauke sangkar itu supaya segera melabuhkan umpan tidak saya pedulikan sangat kerana belum bersedia untuk memancing.

 

Seketika kemudian, joran berumpankan udang dan belanak hidup dilabuhkan ke ruang sangkar yang tiada berjaring atau ruang kosong antara sangkar.

IKLAN

Setelah agak lama tiada sebarang sambaran, sebaliknya udang hidup banyak kehilangan kaki dan mata dikutis ikan-ikan kecil dan ketam, belanak pula keras di mata kail, saya mengambil keputusan memancing ikan-ikan kecil saja menggunakan udang kopek dihiris kecil.

Tak disangka pula umpan udang kopek dipotong tiga itu pula yang dikutip oleh siakap remaja sebesar tapak tangan.

 

 

Cerita rakan tentang ikan tamok dan dengkis banyak berkeliaran di bawah kelong, mendorong saya untuk menyediakan umpan bagi memikat ikan-ikan tersebut. Dedak bom, Matsumoto Udang Antatika dan umpan gam dibancuh, dikepal pada spring dan digantung di pra permukaan air sebagai pemikat ikan.

 

Bancuhan dedak yang sama juga digentel pada mata kail bersaiz kecil untuk menjerat ikan yang datang. Hasilnya terbukti mengasyikkan.

 

Tamok, dengkis dan kitang banyak yang terpedaya namun tidak semua yang berjaya dinaikkan melalui celah-celah lubang lantai kelong.

 

 

Menjelang petang, ahli komplot bertambah dengan kedatangan pemancing-pemancing yang kerap bertandang ke Kelong Keong. Sama ada secara kebetulan atau sudah mengetahui jadual ikan sangkar di bahagian belakang diberi makan, spot yang mereka pilih ternyata menjadi-jadi. Setelah melihat mereka menaikkan beberapa ekor siakap dan GT juvana di spot yang sama, saya segera mencuba nasib.

 

Tidak perlu menunggu lama, udang hidup yang diturunkan ke ruang petak sangkar kosong itu segera disambut oleh pemangsa yang sedang berkeliaran mencari makanan. Malah macam tak percaya pula dalam radius kecil itu banyak pula spesies yang menanti. Siakap, siakap merah, GT juvana, tetanda, jenahak dan kerapu seperti berkumpul di situ.

 

 

Cuma tidak boleh lama melayan tarikannya ekoran banyak rintangan di bawah kelong. Sama ada tali-tali pengikat sangkar atau jaring sangkar itu sendiri boleh menyebabkan ikan tersangkut dan berjaya melepaskan diri.

 

Sedar tak sedar, hari dah mula gelap dan umpan hidup turut kehabisan. Perancangan awal untuk bermalam di kelong tersebut terpaksa dibatalkan ekoran hasil tangkapan agar banyak dan tidak cukup ais pula untuk menyimpan ikan-ikan tersebut.

 

Keputusan terbaik, kembali semula ke darat, nikmati hasil tangkapan di kedai seafood, berehat dan kembali semula keesokan harinya ke sangkar yang sama dengan harapan membuahkan hasil yang sama juga.