Bertolak dari jeti sekitar jam 10.00 pagi, haluan bot tidak terus memecut laju ke Lucornia, sebaliknya buat persinggahan di kawasan pelantar minyak terlebih dahulu untuk jigging. Ekoran cuaca yang berubah-ubah sepanjang perjalanan, hujan dan berangin mengakibatkan laut sedikit kucah dan kurang selamat untuk berhanyut lama di kawasan pelantar minyak, sesi jigging terpaksa dipendekkan masanya.

 

Walau bagaimana pun Jamie Chester, wakil media Australia berjaya juga mendaratkan seekor GT skala saiz sederhana. Sementara kami selaku media tempatan dan wakil Tourism Malaysia sekadar menaikkan ikan aji-aji, tongkol dan pisang-pisang bersaiz kecil.

 

GT, aji-aji, pisang-pisang dilepaskan kembali ke laut sementara tongkol disimpan untuk dijadikan umpan segar. Dalam aktiviti trolling ketika menyambung perjalanan ke perairan Lucornia, Jamie mempamerkan kehanyiran beliau apabila berjaya mendaratkan seekor wahoo pula.

 

 

Namun ketibaan kami di Lucornia disambut sepi oleh penghuni-penghuni dasarnya. Beberapa kali berpindah spot hingga ke lewat malam, belum ada hasil yang benar-benar boleh dibanggakan.

 

Hari kedua

Aktiviti memancing wakil media antarabangsa ini tak ubah seperti waktu pejabat. Awal-awal pagi bangun memancing, sebelum lewat malam semuanya masuk tidur. Sementara kami bagai tak cukup masa memancing. Justeru, ruang belakang bot yang cukup luas untuk memancing dikhususkan kepada mereka untuk jigging dan sebagainya.

 

Sementara kami banyak melabuhkan umpan ke dasar dan bersantai. Bila jemu menunggu barulah ikut sama jigging. Namun untuk jigging lama dengan purata kedalaman laut 150-230 meter, bukanlah sesuatu yang santai.

 

 

Seharian berpindah-pindah lubuk, bersauh dan berhanyut, namun hasilnya masih mengecewakan. Kerapu gergasi atau kertang, ruby snapper, yellowfin tuna, dogtooth tuna yang diidamkan langsung tidak kelihatan.

 

IKLAN

Hanya pelbagai jenis kerapu dengan skala saiz 2-5 kilogram, ikan durian, ikan lolong bara atau pimpong yang rajin menjamah umpan. Hanya pada sebelah malam barulah sedikit ceria apabila lubuk berkedalaman 170 meter banyak didiami kelompok tongkol di pertengahan air.

 

 

Hampir setiap jig yang dimainkan di kedalaman 70-80 meter akan disambar pemangsa. Biarpun berskala saiz kecil namun cukup seronok melayan henjutan yellow fin tuna, dogtooth tuna dan tongkol. Sementara aksi pancingan bottom sering diganggu oleh pelbagai jenis yu.

 

Hari Ketiga

Jam 4.00 pagi penulis masuk tidur, jam 7.00 pagi penulis dikejutkan dengan keriuhan rakan-rakan pemancing menaikkan ikan.  Rupanya sejak jam 6.00 pagi mereka yang belum tidur atau baru bangun tidur mula menuai hasil perut Lucornia.

 

Jig prototype leaf jig seberat 350 gram yang dimainkan dengan kaedah slow jigging milik wakil media Jepun, Masahiro Shibata mempamerkan keberkesanannya. Bermula dengan hasil usaha Pok Mud (media tempatan) mencubanya dan berjaya mendaratkan seekor Ruby Snapper dengan skala saiz 8 kilogram, nasib Masahiro Shibata ternyata lebih bertuah.

 

 

Jig dengan reka bentuk tulang sotong katak itu ternyata turut digemari giant grouper atau kertang. Namun menarik keluar kertang seberat 39 kilogram dari dasar sedalam 200 meter menggunakan kekili mendatar bukanlah satu tugas enteng.

 

Tersadai Chief Editor Majalah Perfect Boat itu dibuatnya. Tidak lama kemudian, Hairi, wakil Tourism Malaysia pula menggamat suasana apabila hasil bottomnya berjaya menaikkan ruby snapper terbesar dengan saiz 13 kilogram. Ekoran kehadiran bot pancing lain, lubuk bonus tersebut terpaksa ditinggalkan dan beralih ke lubuk lain pula.

 

 

Menjelang tengah hari tatkala rakan-rakan trip seronok menjamu sasimi dan umai yellowfin tuna segar, penulis masih berusaha mencari satu lagi lesen ikan sasaran. Biarpun lubuk terbaru berkedalaman 190 meter ini seperti kurang memberangsangkan, namun penulis tetap positif.

 

Ternyata bila berfikiran positif, hasilnya juga positif. Tidak sampai sepuluh minit umpan tongkol segar berada di dasar, hujung joran bergetar seperti ada getuan kecil. Setelah beberapa ketika barulah penulis membuat sentapan dan jelas terasa ada sesuatu yang mengena.

 

 

Melihat pada aksi kekili elektrik yang seperti menderita menarik pemangsa, ia sudah cukup mendebarkan kerana sebelum ini aksi yang sama menyebabkan tali utama lebih 100 meter terputus. Dan akhirnya, ruby snapper dengan saiz 10 kilogram cukup membuatkan penulis tersenyum puas.

 

Menjelang senja, kawasan dalam ditinggalkan dan kawasan beting cetek pula ditujui bagi memenuhi keinginan wakil media antarabangsa untuk melakukan aktiviti popping. Namun hasil popping kurang memberangsangkan. Hanya light jigging saja berhasil menaikkan kerapu karang. Seterusnya menjelang malam, bot memecut laju ke kawasan pelantar minyak yang terletak dalam perjalanan pulang ke Miri.

 

 

Hari Keempat

 

Hasil bottom malam terakhir di beberapa pelantar minyak ternyata menghampakan, begitu juga dengan aksi jigging. Hanya sebuah pelantar minyak saja yang mana penghuninya banyak memutuskan tali dan meleburkan jig.

 

Begitulah dengan nasib jig prototype yang sebelumnya banyak menaikkan ikan pelbagai spesies. Kekangan dari GT berstatus mega menyebabkan tali sulam 80lb dan perambut 150lb putus juga. Dalam perjalanan pulang ke Miri, beberapa lubuk turut dicuba namun hampir tiada hasil yang benar-benar memuaskan hati.

 

 

Yang pasti, walaupun di Jepun, Australia atau New Zealand memiliki ikan-ikan yang lebih berstatus mega, namun wakil-wakil media antarabangsa tetap mengiktiraf perairan negara kita juga antara yang terbaik.

 

Info Bot Pancing

Bot Marine Harvest sememangnya bot pancing terbaik untuk ke perairan Lucornia. Bot dengan saiz 23.8 meter panjang, 4.6 meter lebar, maksimum kelajuan sehingga 28 knot, sudah cukup selesa dan laju untuk membawa ahli trip seramai 13 orang. Yang pastinya, Lucornia yang terletak lebih 90 batu nautika dari Miri hanya memakan masa perjalanan kurang dari 5 jam!