Ajak hari ni, esok serahkan paspot dan gambar untuk dibuatkan permit memancing di Burma Banks! Tanpa berfikir dua atau tiga, penulis terus saja bersetuju. Maklum sajalah peluang untuk mengutip pengalaman dan melaporkan sendiri story pancingan laut dalam di salah satu syurga spot memancing bukannya selalu hadir dengan percuma.

 

Kebetulan pula tarikh dan tempoh trip selama 9 hari (216 jam) itu tidak banyak mengganggu rutin tugasan bulanan. Ekoran terlalu teruja, petanda trip bakal berhadapan dengan kumpau level 4 langsung tidak diendahkan.

 

Petanda kumpau bermula apabila tarikh asal trip ditunda dua disebabkan masalah kelewatan kelulusan permit daripada Kedutaan Mynmar. Namun ia hanyalah ralat kecil dan langsung tidak merubah jadual trip.

 

Aral dan halangan kembali mendatang dalam perjalanan ke Kuala Perlis apabila dimaklumkan bot gagal disiapkan oleh kontraktor dan masih berada di dockyard atau limbungan Kuala Kedah.

Kelewatan sehari yang dijangkakan itu secara tidak langsung telah mengurangkan durasi trip selama 24 jam.

 

 

IKLAN

Masuk hari kedua trip (jadual trip asal), bot masih juga belum disiapkan sepenuhnya namun sudah diturunkan ke air pada tengah harinya. Namun atas faktor pasang surut, bot tidak diapungkan sepenuhnya.

 

Sementara menunggu air pasang, kerja-kerja penyiapan terus dilakukan. Ekoran kesuntukan masa dan perlu segera ke Kuala Perlis untuk urusan seterusnya dengan jabatan laut dan imigresen, kerja-kerja terakhir diteruskan dalam perjalanan ke Kuala Perlis.

 

Sejurus berlepas keluar dari muara Kuala Kedah, bot yang masih rancak dengan kerja-kerja pendawaian dan usaha menghidupkan kegagalan fungsi generator baru serta mesin penyejuk yang masih dibungkus dengan pembalut telah menarik perhatian pasukan peronda Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM). Maka bermulalah petanda kumpau yang terbesar.

 

Pemeriksaan dilakukan oleh pegawai APMM dan mendapati alat pemadam api serta rakit keselamatan sudah tamat tempoh. Jika hendak dibuat perbandingan di jalan raya, ia tidak ubah seperti kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar. Sama ada untuk dikeluarkan saman atau dilepaskan dengan nasihat terletak pada budi bicara pegawai penguat kuasa.

 

 

Namun segala penjelasan daripada kapten bot tidak diendahkan oleh pegawai penguat kuasa yang menggunakan kuasa yang ada. Tidak cukup dengan kompaun yang dikeluarkan, bot diarahkan berpatah balik dan ditahan di Pangkalan APMM untuk tindakan seterusnya.

 

Malah, penulis bersama beberapa orang lagi bakal pemancing turut sama ditahan untuk memberi keterangan. Kad pengenalan kami diambil, foto kami dirakam saling tak tumpah merakamkan penangkapan penjenayah.

 

Lewat tengah malam barulah kami dilepaskan dan kad pengenalan dikembalikan setelah sesi nasihat oleh pegawai penyiasat. Namun bot tetap disita! Lebih memburukkan keadaan cuti umum yang jatuh pada hari Jumaat di Kedah menyebabkan urusan pembebasan digagalkan walaupun pemadam api dan rakit keselamatan diservis serta diperbaharui.

Hanya pada hari kelima sepatutnya trip berlangsung barulah bot dibebaskan dengan jaminan mahkamah!!!???

 

Hakikatnya pembebasan itu tiada ertinya lagi. Dengan baki masa 5 hari atau 120 jam hanyalah durasi masa perjalanan ke Burma Banks! Atau erti kata lainnya, masa yang ada hanya cukup untuk berlayar dan urusan mengecop paspot di Thailand dan Mynmar semata-mata.

 

Tempoh dan waktu memancing telah pun dihabiskan oleh birokrasi pegawai penguat kuasa yang berkuasa tahap superb! Alahai tuan… Kami nak pergi memancing je pun tuan! Patah sayap terbang jua. Walaupun gagal untuk ke Burma Banks dan lebur begitu saja belasan ribu ringgit untuk permit bot dan memancing di Mynmar, jarak trip dipendekkan ke perairan Thailand sekitar pinggiran Laut Andaman sahaja.

 

 

Namun keterujaan yang sudah luluh, semangat untuk memancing pun turut sama pudar. Dan trip terus berkubur dan kumpau berdarah tahap kronik pun berlaku apabila gagal berlayar menghampiri Phuket setelah dua malam dipukul ribut yang kuat.