Kedatangan kami kali ini di Pulau Bidan dan Pulau Telor yang terletak di daerah Yan, Kedah didukung dengan keazaman yang tinggi untuk menjinakkan barracuda. Teknik pancingan barracuda atau turut dikenali sebagai ikan alu-alu bukanlah seperti yang selalu dibayangkan iaitu melepaskan gewang di belakang bot, sambil bot bergerak dan tunggu sehingga isyarat dari kekili.

 

Pertembungan Epik!

Setelah hampir 15 minit menunggu strike yang pertama, gewang Strike Pro Titan yang ditunda akhirnya disambar rakus spesies yang turut terkenal dengan bergigi tajam ini. Sebaik sahaja ia mengena, Samson Khor berjaya mengawal karauan kekili dengan baik dan selang beberapa minit, barracuda pertama akhirnya terkulai di tepi bot.

 

Tundaan kemudiannya diteruskan di lokasi yang sama, kerana dipercayai terdapat kawanan spesies ini sedang berkeliaran. Ternyata telahan kami tepat, apabila selang beberapa minit seekor lagi barracuda bersaiz gadang berjaya diperdaya. Kali ini boleh dikatakan agak memenatkan kerana terpaksa melayan corak agresif ikan ini sehinggalah ia naik ke permukaan air.

 

 

Bonus! Tangkapan kerapu

Ketika kami sedang trolling, tiba-tiba kami dikejutkan dengan sergapan kuat. Paling mengejutkan adalah gewang berkenaan terkena ikan kerapu besar. Berkemungkinan ketika kami sedang menunda berhampiran pulau yang airnya tidak terlalu dalam, gewang berkenaan melalui rumah sang kerapu. Ia memang satu bonus kerapu diperdaya dengan teknik trolling.

IKLAN

 

Tiada Lagi Barracuda

Pada sebelah lewat petang, kami sedikit hampa kerana tiada lagi barracuda yang berjaya diperdaya ole kami meskipun banyak kali tundaan dilakukan di lokasi yang berbeza. Lantas, kami sebulat hati untuk mencuba casting dan mikro jigging di sekitar pulau-pulau di sini.

 

Khabarnya, pada lewat petang terdapat GT yang mencari makan di kawasan kami di antara Pulau Bidan dan Pulau Telor. Menunaikan hasrat yang terpendam sekian lama untuk mencuba, akhirnya tidak memerlukan durasi masa yang panjang untuk menjumpai saiz GT sederhana yang terjerat dengan mikro jig Bakau.

 

 

Memanglah seronok sekali, apabila tertancap sahaja mata kail pada gewang di mulut GT. Larian yang tajam dan kencang memberi sedikit sebanyak perasaan keterujaan lebih-lebih jika kekili yang digunakan berkategori sederhana ringan di antara 3000 hingga 3500.

 

Cuba-Cuba Appolo

Menuju penghujung trip, kami sempat mencuba-cuba memancing teknik pancing appolo. Menyedari potensi pancingan appollo di kawasan ini agak tinggi dengan tidaklah berhadapan kesukaran begitu ketara.

 

Kami dihadiahkan dengan saat-saat pancingan yang indah sekali apabila selang beberapa minit mencuba akhirnya beberapa ikan sasaran yang kami hajati naik ke permukaan. Kami akui pancingan teknik appolo tidak membosankan jika mencubanya.

 

Durasi masa yang hendak ditunggu untuk ikan sasaran menjelma ke permukaan tidaklah begitu lama. Walau bagaimanapun, bergantung pada keadaan air laut dan cuaca, jika segalanya baik dan air tidaklah begitu bergelora pastinya pancingan appolo hasilnya lebih baik di sini.

 

 

Kesimpulan Trip

Apa yang boleh kami simpulkan sepanjang trip di Pulau Telor dan Pulau Bidan untuk trolling boleh disifatkan memberangsangkan. Walaupun pada mulanya, kami berhasrat untuk melihat beberapa lagi strike dari barracuda yang bersaiz gadang tidak kesampaian.

 

Namun begitu, kepuasan apabila setiap kali tancapannya paling bakal kami tagih jika berkesempatan datang ke sini semula. Melihatkan pemilihan warna gewang juga memainkan peranan yang besar.